Kapten skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Adib Zainuddin, berkata aksi final menentang Thailand esok akan menjadi misi membalas dendam pasukannya selepas tewas dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini.

Skuad muda negara akan berentap buat kali keempat dengan Thailand sejak Jun tahun lalu.

Dalam tiga perlawanan terdahulu, skuad muda negara tewas 2-1 ketika final Piala Negara-Negara (Jun 2016), dibelasah 4-0 ketika Piala Dubai (Mac 2017) dan kecundang 3-0 ketika kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok, bulan lalu.

Enggan episod sama berulang di bumi sendiri, Adib menuntut rakan-rakan sepasukan mengerah segala kudrat yang ada bagi memastikan dendam terbalas.

"Kami tahu kami tewas kepada Thailand di Bangkok tetapi di sini kami menjadi tuan rumah, jadi sudah tentu kami mahu membalas dendam," kata Adib.

Adib bersama Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin sekali lagi dijangka membentuk trio ampuh di benteng akhir.

Seorang lagi pemain yang bakal menjadi watak penting skuad muda negara ialah penjaga gol, Haziq Nadzli.

Tidak beraksi dalam tiga kekalahan skuad negara kepada lawan sebelum ini, Haziq bertekad mengulangi aksi cemerlang esok untuk ujian getir berdepan Thailand.

"Saya menyasarkan sekurang-kurangnya satu perlawanan tanpa bolos dalam peringkat kumpulan tetapi Alhamdulilah berjaya melakukannya dalam aksi separuh akhir."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.