Skuad bola keranjang wanita negara kekal di landasan terbaik mempertahankan emas yang dimenangi mereka di Singapura dua tahun lalu apabila meneruskan rententan kemenangan, kali ini ke atas pencabar utama, Filipina, di Stadium MABA, hari ini.

Skuad bimbingan Young Sze Yuin itu merekodkan kemenangan 60-56, sekaligus membuka jalan mudah untuk mengekalkan pingat emas.

Filipina dilabelkan sebagai pencabar utama skuad negara ekoran kejayaan mereka melakar kemenangan besar 123-33 ke atas Myanmar di samping mengetepikan pemenang pingat gangsa dalam Sukan SEA edisi lalu, Thailand, 69-67.

Kemenangan tersebut meletakkan Malaysia kekal menerajui kumpulan selepas empat perlawanan.

Malaysia mendahului perlawanan sejak suku pertama 13-12 sebelum menamatkan suku kedua, 34-23.

Bermula babak kedua, Malaysia, yang dibarisi Chong Yin Yin (point guard), Yap Fook Yee (power forward) dan Pang Hui Pin (shooting guard) terus memastikan skuad negara di depan 47-38 ketika tamat suku ketiga.

Meskipun Filipina memberi tentangan sengit dengan merapatkan kedudkan 57-54 tatkala berbaki 40 saat sebelum berakhir, anak buah Young menerapkan taktikal 'high court press' untuk mengekang gerakan lawan.

Yin Yin sekali lagi mengekalkan kecemerlangan apabila melakar mata dua angka, kali ini mengutip 12 mata, diikuti Yap dengan 10 mata dan Pang, sembilan mata.

Malaysia dijangka melakar kemenangan mudah ke atas Myanma, esok sebelum berdepan Thailand dalam aksi terakhir kumpulan, lusa.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.