Kapten skuad bola jaring negara, Nur Syafazliyana Mohd Ali, berhasrat menjadikan pengalaman berguru di Brisbane, Australia, sebagai tonik terbaik dalam mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Selepas menjuarai Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong dan Kejohanan Empat Penjuru di Sri Lanka, awal tahun lalu, skuad kebangsaan meneruskan rentak memberangsangkan apabila memenangi tiga daripada lima perlawanan persahabatan di Brisbane.

Buat masa ini, 15 pemain gabungan lama dan baru masih lagi memburu 12 slot untuk mewakili negara dalam temasya dwitahunan itu.

Syafazliana bertekad mempertahankan emas yang dimenangi pasukannya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan menganggap mereka dalam keadaan bersedia, lebih-lebih lagi selepas menjalani persiapan di Australia itu.

"Insya-Allah ia akan menjadi satu kelebihan buat skuad negara memandangkan Australia adalah pasukan nombor satu dunia.

"Jadi, kunjungan kami ke sana dapat menguji tahap kemampuan kami," katanya ketika menjalani latihan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, semalam.

Sementara itu, ketua pasukan remaja Asia B-21, Noor Azilah Aziz, pula menyatakan kesediaan untuk membantu Malaysia mempertahankan emas selepas tidak berpeluang menyertai edisi sebelum ini ekoran kecederaan bahu kiri.

"Saya sudah beraksi bersama skuad senior sejak 2012 lagi.

"Bukan rezeki saya untuk mewakili negara dalam Sukan SEA 2017 tetapi oleh kerana ada sebahagian pemain skuad edisi lalu yang sudah bersara, saya mungkin berpeluang untuk menggantikan tempat mereka," katanya.