Suasana seakan-akan dalam final mencetus semangat skuad bola jaring negara bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka sewaktu menentang Singapura dalam aksi ketiga untuk meraih kemenangan 50-37, hari ini.

Juara bertahan Sukan SEA 2015 itu kempunan untuk menyekat misi tuan rumah selepas Malaysia mula mempamerkan belang untuk menjadi pasukan pertama mara ke separuh akhir.

Menariknya, perlawanan ketiga ini antara yang paling mencuri tumpuan jika dilihat daripada penyokong kedua-dua negara berkenaan yang hadir di Stadium Juara Bukit Kiara itu.

Jika dibandingkan perlawanan final di antara dua pasukan ini dua tahun lalu, aksi yang lebih kemas ditampilkan mereka kali ini untuk meletakkan jurang jumlah jaringan yang lebih besar.

"Perlawanan di antara Malaysia dan Singapura sangat sengit, ia adalah langkah pertama buat kami untuk cuba memastikan emas milik kami kali ini," kata kapten pasukan bola jaring negara, Nur Syafazliana Mohd Ali.

Tahap kecergasan dan konsistensi permainan paling ditekankan oleh pengendali pasukan, Tracey Robinson, kepada barisan pemainnya ketika ini sebelum berdepan aksi yang lebih getir pada Jumaat ini untuk selangkah lagi ke final.

"Apa yang perlu kami lakukan selepas ini adalah menilai semula permainan (hari ini), terdapat beberapa perkara perlu dipertingkatkan lagi sebelum menghadapi aksi seterusnya," kata Robinson.