Persekutuan Bola Baling Malaysia (MHF) kembali menghantar wakil dalam Sukan Asia Indonesia biarpun sebelum ini Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan bola baling antara tujuh sukan yang tidak akan menyertai temasya terbesar rantau Asia itu bulan depan.

Keputusan ini dibuat setelah MHF berjaya meyakinkan pihak MOM untuk menghantar wakil ke temasya itu.

Ini merupakan penampilan pertama skuad bola baling di pentas Sukan Asia sejak ia mula dipertandingkan pada 1982 di New Delhi untuk acara lelaki dan edisi Beijing 1990 bagi acara wanita.

Sebagai permulaan, seramai 32 peserta berada dalam senarai akhir MHF yang merangkumi skuad lelaki dan wanita.

"Rasionalnya, kami ingin memberi peluang kepada pemain-pemain senior negara untuk bertanding di peringkat lebih tinggi supaya mereka dapat belajar dengan pemain ternama di peringkat antarabangsa.

"Selain itu, kami ingin memperkasakan sukan bola baling di Malaysia. Kami tidak mahu dilabel sebagai jaguh kampung," kata pengurus skuad bola baling negara, Abang Ismail Abang Julhi.

Malaysia akan ke Indonesia bulan depan atas kapasiti sukan kategori B yang memerlukan mereka mengeluarkan belanja sendiri terlebih dahulu.

Cabaran menanti Malaysia apabila skuad lelaki diundi dalam kumpulan A di samping pemenang pingat emas edisi lalu, Qatar, serta Iran sementara skuad wanita pula akan berentap dalam kumpulan B bersama Jepun, Indonesia, Hong Kong serta Thailand.

"Ini peluang Malaysia untuk membina ranking di peringkat Asia.

"Untuk itu, kami akan berbuat yang terbaik di peringkat kumpulan nanti," kata ketua jurulatih pasukan bola baling negara, Shamsul Nizam Muhammad Ali.