Hasrat Terengganu untuk menjuarai Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 Bawah 18 Tahun di laman sendiri tidak kesampaian selepas terkandas dalam suku akhir, semalam.

Dengan format tiga pasukan sekumpulan, tuan rumah dikejutkan dengan dua kekalahan berturut-turut kepada Perak (10-15) dan Kelantan (6-8) manakala aksi Perak-Kelantan berkesudahan seri 13-13.

Keputusan itu memastikan Perak dan Kelantan mara ke separuh akhir selaku dua pasukan teratas kumpulan.

Dua lagi slot separuh akhir diisi Pahang dan Negeri Sembilan yang menyaksikan masing-masing mencatat kemenangan ke atas Kedah sebelum terikat 10-10 sesama sendiri.

Aksi separuh akhir Pahang-Kelantan dan Perak-Negeri Sembilan akan berlangsung hari ini.

Acara perempuan pula turut menampilkan empat pasukan terbaik susulan kemenangan ke atas lawan mereka di peringkat suku akhir.

Johor pasukan pertama layak selepas mengalahkan Perak 14-11 untuk membuat perhitungan dengan Selangor yang mengecewakan Terengganu 8-4.

Mengiringi mereka ialah Kelantan dan Negeri Sembilan. Kelantan mara selepas mengatasi Sarawak 4-3 manakala Negeri Sembilan menang 10-9 ke atas Pahang.