Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, mengesahkan keputusan jurulatih, Paul Birmingham, untuk meninggalkan skuad renang negara kerana mahu membawa haluan baru selain mendapat tawaran luar yang lebih baik.

ASUM menerima tamparan apabila Birmingham membuat keputusan untuk mengundurkan diri selepas 10 tahun berkhidmat di Malaysia.

Jurulatih dari Australia itu akan meninggalkan skuad renang negara selepas berakhir Sukan Asia Indonesia, 18 Ogos-2 September ini.

Menurut Mae, Birmingham telah memutuskan perkara itu bulan lalu walaupun kontraknya akan berakhir Disember ini.

"Birmingham mahu mendapatkan pengalaman baru dan kami telah menerima keputusan tersebut," kata Mae.

Ini bermakna Sukan Asia Indonesia akan menjadi penampilan terakhir Birmingham selaku ketua jurulatih skuad renang negara.

Perkhabaran ini sudah pasti akan mengejutkan perenang negara yang sedang melakukan persiapan untuk menghadapi temasya berkenaan.

"ASUM akan mendapatkan jurulatih baru sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA tahun depan," katanya lagi.