Harvey Barnes dijangka perlu berehat panjang selepas pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, mengesahkan bahawa pemain sayap itu mungkin perlu menjalani pembedahan kecederaan lutut.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang aksi menariknya menjadi bualan untuk disenaraikan dalam skuad England dalam Euro 2020, terpaksa dikeluarkan pada enam minit pertama babak kedua ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Arsenal malam tadi.

Dan Rodgers mengesahkan bahawa kecederaan yang menimpa Barnes pada awal bulan lalu itu telah semakin memburuk.

"Ia bukan berita yang baik, ia kelihatan seperti dia perlu menjalani pembedahan, jadi ia memerlukan waktu rehat minimun selama enam minggu," kata Rodgers, yang pasukannya kini sedang dilanda badai kecederaan pemain.

"Saya percaya ia di sekitar tulang rawannya. Dia berdepan terjahan di lututnya beberapa minggu lalu jadi ia agak mengganggunya selama ini. Hari ini, dia berdepan terjahan yang betul-betul di kawasan itu (dan ia) menjadikannya lebih buruk.

"Dia perlu mengubatinya. Dia rasa terganggu dengannya, disebabkan itu kami mencuba untuk memulihkannya Khamis lalu, memberikan sedikit tekanan tetapi malangnya, ia terlalu buruk buatnya dan tamparan yang besar buat kami.

"Saya akan mendapatkan lebih berita hari ini tetapi itulah yang kami fikirkan mengenainya," katanya.

Bilik rawatan The Foxes kini sibuk di mana James Maddison, James Justin, Wesley Fofana, Ayoze Perez, Dennis Praet dan Wes Morgan, kesemuanya tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

Nasib pasukan yang sedang bersaing di kelompok atasan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semakin buruk apabila Jonny Evans turut terpaksa dikeluarkan ketika menentang The Gunners, yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk memenangi perlawanan itu.

Jika Barnes terpaksa berehat selama enam minggu, dia akan terlepas lima perlawan EPL dan suku akhir Piala FA menentang Manchester United.

Walaupun disingkirkan oleh Slavia Prague dalam Liga Europa (UEL) minggu lalu, Leicester masih berada di tangga ketiga EPL.