Atlet bina badan negara, Faiz Ariffin, berada di landasan tepat untuk menamatkan kemarau pemburuan gelaran Mr Universe bulan depan selepas membantu Malaysia mencatat kejayaan berganda dalam Kejohanan Asia di Batam, Indonesia.

Kejayaan Faiz menjuarai kategori fizikal ketinggian 175 sentimeter dalam Kejohanan Asia itu menyaksikan dia antara calon terbaik menghadapi Kejohanan Dunia di Korea Selatan, bulan depan.

Atlet berusia 26 tahun itu mencipta kejutan menewaskan jaguh senior benua ini selepas tujuh kali menyertai Kejohanan Asia.

Justeru, dia diletakkan sebagai prospek terbaik bergelar Mr Universe.

"Saya telah banyak kali menyertai kejohanan selain menempuhi saat turun dan naik.

"Insya-Allah kali ini saya tahu apa yang diperlukan untuk ditingkat dan tumpukan.

"Dalam tempoh empat minggu ini, ada masa untuk saya membawa pakej di atas pentas kelak," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Kemunculan Faiz mengurangkan tekanan buat jaguh senior negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, yang memenangi gelaran Mr Asia buat kali kelima berturut-turut.

Dia diletakkan sebagai harapan terbaik di Korea Selatan.

"Saya sedar Kejohanan Dunia di Kepulauan Jeju, Korea Selatan kelak pasti amat sukar.

"Saya dengar ia menarik penyertaan ramai atlet dari banyak negara.

"Ia lebih sukar berbanding Kejohanan Asia, jadi saya terpaksa buat persediaan dan akan buat kerja rumah," kata Syarul pula.