Dua cerita berbeza buat bekas pasangan regu Big Cass dan Enzo Amore. Setelah berkerat rotan berpatah arang sejak beberapa bulan lalu, kini keduanya akan membawa haluan masing-masing dan ikatan mereka sebagai pasangan regu kini boleh dikatakan hanya tinggal sejarah.

Usaha Big Cass yang cuba untuk menyerlahkan potensinya sebagai penggusti solo walaubagaimanapun seakan menempuh jalan berbonggol apabila bintang berusia 30 tahun dengan ketinggian 7 kaki itu dilapor telah mengalami kecederaan semasa menentang Enzo Amore dalam Perlawanan Jalanan Brooklyn di acara Raw pada Selasa.



Ketika perlawanan tersebut, Enzo telah mengelak tendangan di muka oleh Cass dengan menarik tali paling atas gelanggang, menyebabkan Cass terperosok jatuh ke lantai bawah gelanggang dengan pendaratan yang kurang kemas. Hasilnya, Cass tidak dapat meneruskan perlawanan dan kemenangan percuma diberikan kepada Enzo walaupun agak lunyai dibelasah sebelum itu.




Menurut WWE.com, hasil pemeriksaan melalui imbasan Magnetic Resonance Image (MRI) mendapati, Cass telah mengalami kekoyakan pada bahagian ligamen atau anterior cruciate ligament (ACL) dan kemungkinan turut mengalami kekoyakan pada bahagian meniscus medial. Akibatnya, Cass akan menjalani pembedahan dalam minggu ini dan menjalani pemeriksaan yang lebih ekstensif untuk menilai tahap keterukan lututnya itu.

Lazimnya, kecederaan otot ACL sebegini akan mengambil masa sekitar sembilan bulan untuk pulih sepenuhnya dan nampaknya Cass terpaksa berehat panjang selepas ini.

Berita ini pastinya mengundang senyuman sinis kepada Enzo yang telah dikhianti rakan baiknya itu sebelum ini. Namun Enzo juga terpaksa menerima hakikat yang dirinya agak ‘sayur’ dalam gelanggang WWE jika berseorangan. Tanpa Cass, Big Show atau mana-mana penggusti lain yang lebih besar daripadanya, agak sukar untuk Enzo dipandang serius oleh peminat, melainkan sekadar menjadi bahan lawak dalam promonya yang berdegar-degar setiap kali beliau muncul.

Oleh kerana Enzo merupakan bintang yang agak laris barangan cenderamatanya, WWE memutuskan untuk memindahkan Enzo ke divisyen yang lebih sesuai dengan fizikalnya iaitu 205 Live yang merupakan divisyen khusus bagi penggusti Cruiserweight dengan berat kurang daripada 93 kilogram.

Di acara 205 Live minggu ini, dapat kita saksikan Enzo menyambung semula ‘sembang kencangnya’ di acara tersebut dengan membuat penampilan sulung di situ. Enzo muncul mencabar Juara Cruiserweight, Neville yang baru sahaja selesai menewaskan Akira Tozawa dan melabelkan acara 205 Live kini sebagai the realest show in the room.



Langkah ini dilihat amat wajar bagi mengembangkan lagi watak Enzo. Daripada dilihat sebagai bintang yang hanya menjadi belasahan saban minggu, Enzo patut beraksi dengan penggusti lain yang sama saiz dengannya. Setidak-tidaknya, segala apa yang keluar daripada mulutnya selama ini dapat diterjemahkan kepada realiti dan bukan sekadar sembang kosong sahaja.

Tambahan pula, terdapat laporan yang Enzo turut bermasalah di belakang tabir. Sikapnya yang bermulut lancang dan gemar bercakap besar itu dikhabarkan telah mengundang rasa jelek di kalangan penggusti lain sehingga pada satu ketika, Abang Long belakang tabir, Roman Reigns telah menghalau Enzo keluar daripada bas yang membawa mereka dalam satu sesi jelajah kerana perlakuan menjengkelkan itu.

Semoga Enzo akan insaf dan tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut jika ingin terus kekal di WWE. Dengan WWE kini sedang giat melaksanakan langkah berjimat cermat, tidak mustahil Enzo akan menjadi ‘S.A.W.F.T’ dan ditendang keluar daripada syarikat itu jika masih lagi mahu berperangai yang bukan-bukan.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.