Atlet muay Thai negara, Ain Kamarrudin, mencipta sejarah apabila muncul peserta tunggal untuk beraksi dalam Kejohanan Sukan Dunia di Poland, 20-30 Julai ini.

Ain, yang bertanding dalam kelas 57 kilogram, berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Belarus, 3-13 Mei lalu.

Kejayaan itu meletakkan Ain dalam kelompok lapan terbaik ranking dunia untuk layak beraksi secara automatik di Wrocław nanti.

"Kejohanan di Poland ini saya anggap sebagai satu sokongan dan persediaan untuk ke Sukan SEA dan berharap memperbaiki segala kekurangan di sana nanti," kata Ain.

Bagaimanapun, jurulatih muay Thai negara, Bernard Radin, tidak terlalu gembira dengan pencapaian itu kerana hanya Ain yang layak ke Poland.

Dia sebenarnya berharap lebih ramai atlet negara seperti Ali Yaakob dan Mohamad Rafi Abdul Manaf layak tetapi mereka terkandas dalam pusingan pertama semasa di Belarus.

"Saya gembira dia layak ke Poland dan dan menyasarkan dalam kelompok empat terbaik tetapi kalau lebih ramai yang layak pada masa akan datang, pasti akan lebih baik," kata Bernard.

Kejohanan Sukan Dunia ialah kejohanan yang mempertandingkan acara-acara sukan yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

Sukan seni mempertahankan diri akan menampilkan acara ju jitsu, karate, sumo dan muay Thai.