Biarpun ketika ini seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, skuad memanah para negara tetap giat meneruskan rutin harian mereka bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Para ASEAN, September ini.

Tiada sebarang perubahan waktu dalam jadual latihan walaupun dalam bulan puasa, dengan atlet memulakan sesi latihan dari jam 8-11 pagi, dan kemudian kembali semula berlatih pada sesi petang.

Ia dianggap satu ujian untuk atlet para yang beragama Islam kerana perlu mengekalkan tahap perhatian yang tinggi ketika berlatih di samping menahan lapar dan dahaga.

"Dalam keadaan panas, dalam keadaan berpuasa, jadi kami mahu melihat bagaimana kawalan diri daripada atlet itu sendiri. Dalam keadaan lapar, adakah prestasi mereka mampu ditingkatkan lagi," kata jurulatih, Marzuki Zakaria.

Bagi barisan pemanah negara, mereka sudah biasa dengan situasi itu, malah menganggap latihan berintensiti tinggi pada Ramadan bukan bebanan.

"Bagi orang lain, ia mungkin luar biasa tetapi bagi kami, perkara ini kami perlu ambil biasa. Perkara itu sebagai salah satu pengorbanan," kata pemanah negara, Ahmad Jefri Jamaluddin.

Sementara itu, seorang lagi pemanah, Yuhaizam Yahaya, berkata: "Kalau kami boleh berjuang dengan dalam keadaan bulan puasa ini, dengan prestasi yang sama, itu sesuatu yang bagus untuk kami bawa ke pertandingan. Kami perlu selalu fokus kepada prestasi."