Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohammad, meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi peluang buat Pengarah Teknikal, Dwayne Miller, untuk terus membuktikan kredibilitinya sehingga hujung tahun ini sebelum buat sebarang keputusan yang terburu-buru.

Status Miller kini ibarat telur di hujung tanduk selepas tiada pencapaian membanggakan sejak mula menyertai kem Malaysia pada Oktober 2019, biarpun diberi peranan membimbing skuad pecut negara.

Tidak cukup dengan itu, beberapa atlet dibawahnya, seperti Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi juga meminta untuk ditukarkan ke jurulatih lain sepanjang tempoh ini.

Namun Nazmizan anggap tidak adil untuk terus menamatkan kontrak Miller memandangkan sukar untuk mana-mana jurulatih mencapai kejayaan khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat pada 2020 selain kekurangan kejohanan pada tahun lalu.

"Selepas saingan Grand Prix Malaysia pada 2019, sebarang saingan terhenti ekoran COVID-19 dan tidak boleh menjalani latihan. Bagi saya tidak adil untuk menamatkan kontrak Miller kerana masa harus diberikan sebelum sebarang penilaian dilakukan," kata Nazmizan.

Dalam masa sama, Nazmizan turut melahirkan kegusaran buat skuad olahraga negara untuk mengharungi beberapa temasya penting, khususnya Sukan SEA Vietnam pada Mei, yang dilihat medan pendedahan buat atlet muda setelah Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil keputusan tidak menyambung kontrak 144 atlet negara untuk tahun ini.

"Atlet-atlet ini adalah harapan negara ke pentas antarabangsa. Jika mereka tidak dikekalkan, selepas pelaburan yang dilakukan adalah satu pembaziran."