Dengan simbolik menanggalkan sarung tangan, jubah dan topinya lantas meninggalkan semua itu di tengah gelanggang, bintang legenda Undertaker memberi isyarat yang beliau akan bersara sepenuhnya daripada gusti profesional selepas ini.

Itulah yang dapat disaksikan lebih 75,000 orang penonton di Stadium Citrus Bowl, Florida dan jutaan lagi di seluruh dunia pasca perlawanan utama acara WrestleMania yang berlangsung pagi semalam.
Undertaker telah dipertemukan dengan jaguh tambatan WWE waktu ini iaitu Roman Reigns di perlawanan kemuncak WrestleMania. Dengan fizikal The Phenom yang agak kurang cergas berbanding dulu atas faktor usia, Roman dilihat mempunyai pelbagai kelebihan daripada pelbagai sudut untuk menumbangkan bintang legenda berusia 52 tahun itu.

Namun, menewaskan Undertaker bukanlah satu tugas mudah. Tambahan pula perlawanan ini dijalankan dengan format tanpa pembatalan DQ serta kiraan keluar, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Walaupun jelas dilihat pergerakan Undertaker yang tidak selincah dulu, namun Taker masih mampu menghasilkan serangan padu dan menahan asakan tanpa henti daripada Roman.

Jelas yang Undertaker kini dimamah usia apabila cubaan beliau untuk melakukan gerakan-gerakan lazimnya seperti bantingan peledak Last Ride tidak berhasil secantik seperti sebelum ini. Perlawanan turut melarat ke luar gelanggang sehingga pada satu ketika, Undertaker lelah menerima rempuhan bahu daripada Roman sehingga terlantar di lantai untuk beberapa minit.

Undertaker menerima rempuhan bahu daripada Roman Reigns

Kerusi besi turut digunakan sebagai senjata. Namun ia menjadi senjata makan tuan buat Undertaker apabila Roman dapat mencapai objek tersebut dan menghentaknya di belakang Undertaker beberapa kali. The Big Dog mengambil peluang ini dengan melancarkan beberapa tumbukan layang Superman disusuli lebih 3 rempuhan bahu kepada Taker.

The Deadman nyaris berjaya mengekalkan rekod cemerlangnya di Wrestlemania apabila berjaya mengenakan gerakan Pacak Nisan kepada Roman. Walau demikian, ia belum cukup untuk menggugah kekuatan Roman dan dengan selambanya, bekas Juara Heavyweight WWE itu menghentikan tiga kiraan pengadil.

Undertaker menghadiahi Roman Reigns gerakan Pacak Nesan

Seperti dijangka, Taker yang semakin lelah terus menerima serangan bertubi-tubi dan akhirnya, beliau tidak mampu lagi menahan asakan setelah menerima satu lagi rempuhan bahu dan tewas di tangan Roman, sekaligus menjadikan Roman individu kedua selepas Brock Lesnar berjaya mengalahkan lagenda ini di pentas WrestleMania.

Roman turut dilihat seakan serba salah selepas mengalahkan Taker. Namun adat perlawanan yang sudah tentu ada yang menang dan yang kalah. Secara tidak langsung, ia menandakan wilayah penguasaan Undertaker yang telah dibina sejak tahun 1990, berakhir kini.

The Big Dog meraikan kejayaannya

Dengan Undertaker yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya membuat kemunculan yang boleh dikira dengan jari sahaja sepanjang tahun, tidaklah pelik untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kerana kudratnya semakin menurun dan tidak mampu lagi menahan azab fizikal dalam setiap perlawanan.

Walau apapun, legasi The Phenom akan terus dikenang oleh seluruh peminat gusti untuk selamanya. Sebagai penggusti yang dianggap ‘abang long’ oleh para penggusti lain di belakang tabir sejak era 90-an, persaraan Taker pasti dirasai semua dan tidak mampu diganti oleh sesiapa.

Berakhirnya sebuah era...

Satu lagi perlawanan yang mencuri tumpuan di acara WrestleMania semalam adalah pertembungan antara Bill Goldberg dan Brock Lesnar bagi perebutan Kejuaraan Universal WWE. Seperti dijangka, perlawanan ini tidak mengambil masa yang lama untuk tamat. Namun ia masih mengujakan dan penuh kejutan.

Lesnar bermula garang apabila sebaik sahaja loceng dibunyikan, beliau terus menghadiahkan tiga gerakan suplex berturut-turut terhadap Goldberg. Menyangka yang Goldberg telah tumbang, Lesnar pantas mendabik dada tanpa menyedari yang serangan tersebut langsung tidak memberi kesan apabila Goldberg pantas kembali berdiri dan menghadiahkan satu rempuhan bahu yang padu terhadap Lesnar.

Goldberg tidak memberikan kesempatan kepada Lesnar untuk menarik nafas ketika Lesnar ke luar gelanggang apabila satu lagi rempuhan bahu kuat diberikan dengan penuh ikhlas sehingga melanggar besi penghadang penonton.

Goldberg menggunakan rempuhan bahu, menghantar Lesnar ke besi penghadang penonton

Julangan jackhammer juga berjaya dilaksanakan Goldberg ke atas Lesnar. Malangnya, sejarah di Survivor Series tidak berulang apabila Lesnar mengangkat bahu di kiraan kedua, memaksa pengadil menghentikan kiraan.

Kesilapan besar dibuat Goldberg apabila beliau cuba melaksanakan satu lagi rempuhan bahu. Lesnar nyata telah mempersiapkan diri lebih awal dan dengan bijak mengelak rempuhan kuat ibarat badak sumbu tersebut. Bekas Juara WCW itu terperosok ke tiang gelanggang, dan kini servis bertukar tangan kepada Lesnar.

Lesnar menyudahkan Goldberg dengan gerakan F5nya

Dengan tujuh gerakan suplex berturut-turut dan diikuti satu gerakan pusingan puting beliung F5, Goldberg terdiam seketika dan pengadil berjaya menyudahkan tiga kiraan pin. Lesnar diisytihar sebagai pemenang dan kini bergelar Juara Universal yang baharu.

Jika benarlah apa yang dispekulasikan sebelum ini, perlawanan ini mungkin yang terakhir buat Goldberg dan beliau juga bakal menggantung but selepas ini, serentak dengan kontrak singkatnya bersama WWE yang bakal tamat beberapa hari selepas acara WrestleMania.

Lesnar berjaya menggondol Kejuaraan Universal daripada Goldberg

Seluruh stadium juga gegak gempita dengan sorakan kegembiraan semalam apabila bekas juara regu kesayangan ramai, adik-beradik Hardy Boyz membuat penampilan mengejut dengan menjadi pesaing tambahan untuk perlawanan bertangga bagi merebut Kejuaraan Regu Raw menentang Big Cass/Amore, Sheamus/Cesaro dan Gallows/Anderson.

Aksi sewaktu Perlawanan Tangga merebut Kejuaraan Regu Raw

Dengan sorakan DELETE yang menjadi slogan kepada Broken Matt Hardy, perlawanan yang disangka hambar ini bertukar rancak dengan penyertaan The Hardys. Kesudahannya, ekspedisi emas Jeff dan Matt kini lengkap apabila Matt berjaya menggapai tali pinggang kejuaraan yang tergantung dan menjadi juara baharu.

The Hardy Boyz menjuarai Kejuaraan Regu Raw

Keputusan lain WrestleMania semalam menyaksikan: AJ Styles tewaskan Shane McMahon, Kevin Owens kecewakan Chris Jericho dan rampas Kejuaraan Amerika Syarikat, pasangan John Cena/ Nikki Bella kalahkan Miz/Maryse, Bayley tumpaskan Charlotte Flair, Nia Jax dan Sasha Banks seterusnya pertahan Kejuaraan Wanita Raw, Seth Rollins tumbangkan Triple H, Naomi bergelar Juara Wanita SmackDown baharu dengan tumpaskan Alexa Bliss, Becky Lynch, Mickie James, Natalya dan Carmella. Manakala penguasaan Bray Wyatt selaku Juara WWE berakhir apabila beliau tumpas di tangan Randy Orton.

Ihsan gambar: WWE.com

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan acara Wrestlemania 33 pada Isnin ini. Bukan itu sahaja, anda berpeluang memenangi pelbagai barangan eksklusif WWE. Layari Facebook Stadium Astro untuk maklumat lanjut.




Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.