Beregu utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhd Shakirin Ibrahim dan Chai Kian Beng mara ke perlawanan akhir Kejohanan Ping Pong Malaysia Ke-53, dan akan bertemu pasangan Kuala Lumpur, Muhd Ashraf Haiqal Rizal dan Wong Chun Cheun.

Pasangan Muhd Ashraf-Chun Cheun terlebih dahulu mengesahkan tiket ke saingan akhir, esok, selepas menang 11-7, 10-12, 14-12, 11-7 ke atas beregu Selangor, Leong Chee Feng dan Choong Javen.

Gandingan Muhd Shakirin-Kian Beng pula dipaksa bekerja keras selepas bangkit pada dua set terakhir untuk mengatasi satu lagi pasangan Kuala Lumpur, Ch’ng Yik Min dan Mohd Hashri Fikri, 11-7, 9-11, 8-11, 12-10, 11-6.

Beregu Selangor, Amanda Wong Ee Ling-Kuan E Xian dan Lee Rou You-Ting Hie Phin pula akan membuat perhitungan sesama sendiri dalam aksi akhir beregu wanita selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir, petang tadi.

Pasangan Ee Ling-E Xian bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 7-11, 11-8, 11-3, 12-10 ke atas beregu Pulau Pinang, Angeline Tang An Qi-Oh Yong Xin manakala Rou You-Hie Phin mengatasi beregu Johor, Too Ning Ying-Too Ning Hui, 11-5, 11-7, 11-7.

Kontinjen Selangor meneruskan penguasaan dalam acara beregu campuran selepas pasangan Chong Javen-Hie Phin mara ke perlawanan akhir dan akan bertemu rakan sepasukan, Chee Feng-Rou You, petang esok.