Penyumbang pingat emas pertama kontinjen Malaysia dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Mohd Adi Ramie Amizazahan, tidak menyangka mampu meraih pingat meskipun baru sahaja melakukan penampilan pertama dalam temasya dwitahunan itu.

Kejayaan menyumbangkan emas pertama menerusi acara berbasikal trek 1 kilometer C1, C2, C3 buat Malaysia nyata satu pencapaian yang membanggakan buat Adi.

Baginya, kenangan memecahkan rekod peribadi di pentas seperti Sukan Para ASEAN dan membutirkan emas adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan.

“Saya berbangga dengan kejayaan pada hari ini kerana dalam masa sama, saya berjaya memecahkan catatan masa peribadi.

"Pada mulanya, memang saya tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi hasil kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih, saya berjaya melakukannya,” kata Adi.

Bagaimanapun, wujud insiden yang kurang menyenangkan apabila dia terjatuh selepas tamat persaingan akibat perlanggaran dengan sukarelawan.

“Kepada sukarelawan yang bertugas, diharapkan mereka lebih peka dengan keadaan sekeliling walaupun semua pihak sedar bahawa mereka sedang menjalankan tugas,” tambahnya.

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Datuk Subramaniam Raman Nair, serta jurulatih, Johari Nayan, memuji prestasi yang ditunjukkan oleh Adi serta atlet-atlet berbasikal yang lain selepas berjaya menghadirkan tujuh emas buat negara pada hari pertama.

“Satu pencapaian yang hebat ditunjukkan oleh atlet berbasikal negara,” kata Subramaniam.

“Saya tidak sangka kami berjaya melakukannya dan sasaran awal hanya empat emas tetapi syukur kami berjaya membolot tujuh emas,” ujar Johari.