Azizulhasni Awang kesal tidak dapat menunaikan harapan peminat negara untuk menyaksikannya mempertahankan gelaran juara dunia keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda.

Kegagalannya dalam acara pecut individu 200 meter hari ini pula menyusul selepas dilanda kekecewaan dalam saingan keirin, kelmarin.

Pelumba kelahiran Terengganu itu ketinggalan 0.052 saat kepada pelumba Britain, Jack Carlin, yang mencatat 10.406s dalam pusingan 16.

Di peringkat kelayakan lagi, 'The Pocket Rocketman' sekadar menduduki tempat ke-28 keseluruhan dengan masa 10.072s untuk muncul selaku pelumba terakhir layak ke pusingan seterusnya.

Sehubungan itu, dia tampil memohon maaf di akaun laman sosialnya dengan berkata: "Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal memenangi medal di sini.

"Dalam acara pecut hari ini, saya hanya mampu mencatat 10.024s dalam pusingan kelayakan. Ia lebih perlahan daripada catatan terbaik peribadi, 9.774s, yang dilakukan dalam Kejohanan Trek Asia, bulan lepas.

"Saya terkesan dengan perhatian yang diberikan dan ia mempengaruhi prestasi saya.

"Saya akan bangkit selepas ini," ujarnya.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, terkandas lebih awal apabila gagal menempatkan diri dalam pusingan 16 pusingan selepas sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kedua tercorot daripada 35 pelumba dengan masa 10.293s.