Biarpun terkandas dalam suku akhir acara pecut individu, atlet berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa, masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam dua lagi acara yang disertainya dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Dalam saingan suku akhir berdepan Natasha Hansen dari New Zealand di Velodrom Anna Meares hari ini, pelumba berusia 29 tahun itu yang tewas dalam pusingan pertama, hampir memenangi pusingan kedua untuk mengheret saingaqn ke perlumbaan penentuan.

Namun, dia terpaksa akur apabila tayar basikal Hansen terlebih dahulu melintasi garisan penamat.

"Selepas kalah pusingan pertama, jurulatih John Beasley memasang strategi agar saya memulakan perlumbaan dari belakang dan membuat pecutan dalam pusingan akhir.

"Semasa tinggal satu lagi pusingan, saya memang yakin dapat menewaskan Natasha tapi apa boleh buat, rezeki bukan milik saya.

"Perkara ini biasa berlaku dalam perlumbaan sebegini. Ada kalanya kita menang, ada kalanya lawan kita menang. Apa yang penting, saya hendak teruskan perjuangan untuk acara seterusnya, 500m ujian masa esok dan keirin pada Ahad," katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu amat berpuas hati dengan prestasi dan kayuhannya hari ini dan mengakui semakin bersemangat untuk meneruskan perlumbaan dalam dua lagi acaranya.

"Saya harap dapat menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat, terutama dalam acara keirin. Itu sasaran saya.

"Untuk acara 500m ujian masa, saya akan cuba buat yang terbaik, mana tahu esok nasib saya lebih bagus daripada sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Fatehah mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan saingan di tempat ke-11 dengan catatan 11.142 saat dalam pusingan kelayakan sebelum berjaya menewaskan pelumba dari Wales, Rachel James, dalam pusingan penyingkiran.

Seorang lagi pelumba trek wanita negara, Farina Shawati Adnan, juga layak ke pusingan penyingkiran selepas berada di kedudukan ke-15 dengan catatan 11.586s.

Bagaimanapun, Farina Shawati gagal menandingi pelumba dari Kanada, Lauriane Genest, dalam pusingan penyingkiran tersebut.

-- BERNAMA