Penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Peninsular (ToP), bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam penganjuran edisi kedua tahun ini berikutan wabak Covid-19.

Edisi sulung perlumbaan berstatus 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI ) itu, yang berlangsung dari 15-19 Oktober tahun lalu, mendapat pujian bagi penganjuran yang mantap, selain kualiti perlumbaan.

Namun, dengan pandemik Covid-19 dijangka mengambil tempoh yang lama untuk pulih sepenuhnya, Ketua Pegawai Operasi ToP, Emir Abdul Jalal, berkata pihaknya sedang meneliti keadaan dari semasa ke semasa, termasuk keperluan untuk menangguhkan perlumbaan.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini menetapkan tarikh 13 hingga 17 Oktober untuk perlumbaan lima peringkat itu, dan bersedia untuk menganjurkan ToP 2020 sekiranya mengizinkan.

“Antara isu utama yang perlu diambil kira ialah saranan kerajaan (Kementerian Kesihatan) untuk tidak mengadakan mass gathering sehingga hujung tahun ini. Kedua, katakan Malaysia dah pulih tetapi jika negara lain tak pulih, sukar untuk kami membuat jemputan kepada pasukan luar negara.

“Kami memang dah memulakan perancangan sejak tahun lepas, kalau perkara ini (Covid-19) tak berlaku, kami mungkin dah buat beberapa pengumuman. Antara perkara utama dalam memastikan kualiti perlumbaan ialah mencari pasukan, penaja dan penyiaran.

“Kami telahpun mendapat persetujuan dari pihak penaja untuk menampung dua pertiga kos perlumbaan untuk tahun ini, manakala dari segi pasukan pula, satu pasukan Pro Continental dah bersetuju dan dua lagi bersedia untuk sertai perlumbaan,” katanya.

Emir, yang mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran perlumbaan berbasikal termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL), berkata antara opsyen sekiranya tidak dapat menjemput pasukan luar adalah menurunkan status perlumbaan kepada UCI 2.2.

Ia kerana hanya tiga pasukan dari Malaysia -- Team Sapura Cycling (TSC), Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan -- layak menyertai perlumbaan jika statusnya kekal 2.1.

“Tahun lalu tak ada pasukan Pro Continental, tapi tahun ini, kami sepatutnya dah boleh dapatkan tiga pasukan Pro Continental dalam usaha meningkatkan kualiti perlumbaan jika tiada gangguan Covid-19.

“Sekiranya kami turunkan status, kami boleh buka peluang kepada pasukan-pasukan negeri untuk menyertai perlumbaan.

"Bagaimanapun, kami perlu lihat keadaan semasa serta bincang dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.

-- BERNAMA