Meskipun tidak diberikan sebarang harapan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya, pelumba berbasikal para negara, Khairul Hazwan Wahab, bangkit dengan meraih pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dalam acara ujian masa Kategori B sambil menghadiahkan kejayaan hari ini kepada jurumudinya, Mohd Nor Rizuan Zainal.

Insiden di Lebuhraya LATAR, 7 September lalu, ternyata hampir meragut peluangnya beraksi dengan skuad kebangsaan dalam Sukan Para ASEAN kali ini.

Khairul Hazwan adalah antara mangsa yang terlibat dengan kes kemalangan jalan raya bersama rakan sepasukan, Khairul Nizam Mohd Ali, Mohd Nor Rizuan Zainal dan Muhammad Nur Syafiq Suhaimy, serta jurulatih, Johari Nayan.

Namun, dia berjaya mengetepikan segala kesakitan untuk merangkul emas dengan melakar masa terpantas dalam ujian masa Kategori B dengan catatan 33 minit 13.877 saat bersama jurumudi baru, Muhammad Rauf Nur Misbah.

"Kemenangan ini saya hadiahkan kepada jurumudi saya sebelum ini, Rizuan.

"Walaupun dia tidak dapat bertanding, saya bawa semangat dia kerana kami telah bergandingan sejak sekian lama," ujarnya.

Bagi Rauf, yang baru sahaja digandingkan dengan Khairul Hazwan kurang daripada dua minggu, juga bagai tidak percaya mampu untuk mengetepikan empat lagi pencabar dalam kategori ini.

"Walaupun keyakinannya agak goyah hari ini, Alhamdulillah kami berjaya melakukannya," kata Rauf.