"Jangan mengalah."

Itu laungan pelumba basikal lebuh raya kebangsaan, Muhammad Danieal Haikkal Edy Suhaidee, apabila mengekalkan jersi putih pelumba terbaik Asia dalam peringkat kedua Jelajah Semenanjung hari ini, sekali gus mencerahkan peluang meraih pingat emas dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.


Danieal Haikkal yang mencipta kejutan dalam peringkat pertama dari Dungun ke Kuala Terengganu semalam dengan menyarung jersi putih, berjaya mengekalkan status itu dalam peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Chukai.

Walaupun bukan pelumba pilihan, dia optimis mampu mempertahankan jersi putih sehingga ke peringkat terakhir.

"Insya-Allah saya akan cuba sedaya-upaya walaupun untuk peringkat esok. Saya tidak akan mengalah dan terus mencuba," katanya.

Pelumba Malaysia terus cemerlang dalam peringkat kedua apabila pelumba Team Sapura Cycling, Muhamad Nur Aiman Mohammad Zariff, menjadi Raja Pecut dengan menyarung jersi merah.

"Saya memang nak menang jersi ini dari awal tetapi semalam terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua, jadi saya cuba hari ini dan berjaya merampasnya. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan jersi ini esok," katanya.

Malaysia mengungguli peringkat kedua apabila tiga pelumba menaiki podium merusi Danieal Haikkal (jersi putih), Nur Aiman (jersi merah) dan Harrif Salleh meraih tempat ketiga peringkat kedua Jelajah Semenanjung.

Sementara itu, pelumba Azerbaijan, Elchin Asadov, mengekalkan jersi kuning dengan mencatat 3 jam 30 minit 43 saat.

Bagi jersi biru Raja Pecut, pelumba Protouch Cycling Team, Ronan du Plooy, juga berjaya mengekalkan jersinya dengan keseluruhan 37 mata.

"Saya akan cuba pertahankan jersi kuning di peringkat seterusnya. Mungkin esok atau lusa, tidak kira berapa peringkat saya pertahankan, ia bagus buat Azerbaijan," katanya.

"Selepas peringkat yang hangat dan mencabar semalam, saya fikir setiap orang sudah kepenatan. Ada satu kumpulan pemecah kecil selepas pendakian, jadi saya mengikuti mereka dan menyerang dari sana," ujar Du Plooy.

Peringkat ketiga kayuhan akan bermula dari Kuantan ke Karak dengan jarak keseluruhan 172.7 kilometer sambil setiap pelumba akan melalui tiga zon pecutan di Gambang, Chenor serta Temerloh dan satu zon pendakian di Srijaya dengan kecerunan setinggi 4.99 meter.