Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, tidak terkejut dengan pengumuman calon pencabar kepada jawatannya bagi penggal 2018-2021.

Selain presiden, jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung antara komponen penting dalam pentadbiran badan induk itu.

Atas dasar itu, Beng Choo yang meneruskan tugas Datuk Sieh Kok Chi sejak 2015 tenang apabila diajukan persoalan terhadap cabaran daripada Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

"Ia tidak boleh disifatkan sebagai satu kejutan kerana sebelum ini sudah wujud kemungkinan akan ada individu yang akan mencabar jawatan ini.

"Dalam MOM dan Malaysia sendiri, kami menggunakan konsep demokrasi, jadi sesiapa yang berasa layak untuk jawatan itu boleh mencalonkan diri mereka," ujarnya.

Beng Choo, yang disenaraikan sebagai antara wanita berpengaruh dalam sukan antarabangsa 2018 oleh majalah Forbes, turut menegaskan kepentingan peranan setiap individu yang diberikan mandat menerajui MOM selepas ini.

"Jawatan ini adalah satu jawatan sukarela dan tidak sama seperti sesetengah persatuan yang meraih gaji serta elaun.

"Dalam MOM, masa dan komitmen diperlukan jika memegang status sukarelawan," tambahnya.

Peralihan jawatan berkenaan akan berlangsung secara rasmi dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pemilihan MOM pada 5 Mei ini.

Calon setiausaha agung MOM

Low Beng Choo

Umur: 55 tahun
Asal: Kuala Lumpur

Kepimpinan dalam sukan:

• Setiausaha Agung MOM
• Presiden Konfederasi Sofbol Asia
• Setiausaha Agung Persekutuan Sofbol Antarabangsa

Mohd Nazifuddin Mohd Najib

Umur: 35 Tahun
Asal: Pahang

Kepimpinan dalam sukan:

• Pengasas Program Youth-On-Unity
• Timbalan Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia