Bekas jurulatih Mo Farah, Alberto Salazar, digantung empat tahun daripada sukan olahraga selepas terlibat dengan pelbagai pelanggaran undang-undang antidoping.

Agensi Antidoping Amerika Syarikat (USADA) mengumumkan penggantungan itu awal pagi tadi, dengan Salazar dan Dr. Jeffrey Brown berdepan hukuman gara-gara dakwaan "mengatur dan memudahkan gejala doping ketika bertindak sebagai ketua jurulatih Projek Oregon Nike (NOP) dan sebagai perunding berbayar peningkatan prestasi NOP dan sebagai doktor untuk kebanyakan atlet NOP".

Salazar pernah bekerjasama dengan Farah dari 2011 hingga 2017 di mana pelari Britain itu meraih empat pingat emas dalam Sukan Olimpik sebelum mengambil haluan masing-masing dua tahun lalu.

Dua daripada tiga ahli panel bebas Persatuan Timbang Tara Amerika Syarikat (AAA) mendapati Salazar dan Brown "memiliki dan memperdagangkan bahan perangsang prestasi terlarang dan mentadbir atau cuba mentadbir kaedah larangan buat puluhan atlet olahraga".

Panel tersebut turut mendapati kedua-dua individu itu "melakukan kerosakan dan pencabulan dalam penglibatan".

"Atlet dalam kes ini mempunyai keberanian untuk bercakap dan akhirnya mendedahkan kebenaran," kata Ketua Pegawai Eksekutif USADA, Travis T. Tygart.

"Sewaktu terlibat dengan hubungan bersama Projek Oregon Nike , Encik Salazar dan Dr. Brown telah menunjukkan bahawa kemenangan lebih penting daripada kesihatan dan kesejahteraan atlet yang mereka telah berjanji untuk memberikan perlindungan."

Salazar menafikan sebarang salah laku berkaitannya ketika didedahkan dalam siasatan BBC pada 2015.

Pelari jarak jauh Britain, Farah, memilih untuk berpisah dengan Salazar pada Oktober 2017 untuk pulang ke London -- menamatkan tempoh enam tahunnya bersama jurulatih berkenaan.

"Saya pulang ke London, saya benar-benar rindukan rumah saya," kata Farah, yang menjuarai acara 5,000 meter dan 10,000 meter dalam Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dalam video yang disiarkannya di Twitter pada waktu itu.

"Melihat anak-anak saya seperti ketika musim panas dalam Kejohanan Dunia, saya akan kembali ke sana, saya sangat teruja.

"Juga, saya tidak lagi bersama Alberto Salazar... Jurulatih baru saya ialah Gary Lough, yang melatih Paula Radcliffe dalam maraton."