Bekas juara tinju heavyweight dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Leon Spinks, meninggal dunia pada usia 67 tahun, demikian disahkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusannya.

Spinks -- yang menewaskan peninju legenda, Muhammad Ali, untuk meraih gelaran WBC pada 1978 sebelum tewas dalam pertarungan ulangan setahun selepasnya -- meninggal dunia kerana kanser semalam.

Bekas peninju Amerika Syarikat itu, yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Montreal 1976, menamatkan karier profesionalnya dengan rekod 26-17 -- termasuk tiga keputusan seri dan 14 KO.

"Ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, isterinya, Brenda Glur Spinks, berada di sampingnya. Disebabkan larangan berikutan pendemik COVID-19, hanya beberapa rakan rapat dan ahli keluarga dibenarkan untuk menghadiri upacara penghormatan terakhirnya," kata agensi perhubungan awam itu menerusi kenyataan berkenaan.

"Pertarungan terakhirnya dilakukan dengan kemahiran, rahmat dan kemuliaan yang sama seperti yang telah membawanya melalui begitu banyak cabaran hidup.

"Leon bertempur dengan banyak penyakit dengan tenang, tidak pernah kehilangan senyuman khasnya. Menunjukkan tekad Spinks yang sebenar, dia tidak pernah mengibarkan bendera putih."