Lucas Hernandez tidak menolak corak permainan gergasi Bundesliga, Bayern Munich, membantu menyerlahkan potensi sebenarnya.

Pertahanan itu antara bintang Perancis dalam kempen Euro 2020 dan semakin mencuri perhatian dengan pelbagai kebolehannya untuk mengimbangi benteng dan serangan.

Dia lebih terkenal dengan gaya pertahanan keras tetapi kini sangat berkesan ketika membantu serangan Les Bleus.





Pemain berusia 25 tahun itu semakin gemar mara ke atas, lantas dia mendedahkan ia dipengaruhi penghijrahannya ke Jerman.

"Di Bayern, kemahiran kawalan bola saya semakin meningkat kerana mereka adalah pasukan yang ingin menyimpan bola," katanya seperti yang dipetik daripada Abendzeitung sempena menentang Hungary, awal pagi Khamis ini.

"Di Atletico, saya lebih banyak bertahan. Gabungan itu menjadikan saya seorang pemain yang lebih baik. "

Hernandez sering digunakan sebagai bek kiri tetapi berharap dapat mengisi kekosongan di pertahanan tengah di peringkat kelab pada musim depan.