Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan Lithuania dan Greece sudah menyuarakan hasrat membeli basikal khas yang dibina untuk jaguh trek, Azizulhasni Awang, bagi memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Lithuania dan Greece berminat membeli jentera WX-R berharga RM300,000 itu selepas menyaksikan kemampuan pelumba negara dalam Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, dua minggu lalu.

Faktor aerodinamik dan keteguhannya ketika dikayuh membantu Azizulhasni meraih gangsa acara keirin dan pecut di Berlin.

Namun, ISN akan tetap menyimpan beberapa aspek yang menjadi kelebihan kepada pelumba negara untuk digunakan ketika Olimpik Tokyo.

"Untuk bayaran pastinya tidak sempat kerana ia melibatkan proses yang panjang. Proses ini juga memerlukan satu pasukan khusus bagi mengenal pasti bahagian yang ingin ditumpukan selepas ini. Untuk basikal, kami perlukan tiga tahun dan saya pasti untuk sukan lain, ia memerlukan tempoh yang hampir sama," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.

Beberapa negara seperti Great Britain dan Australia sudah lama terbabit dengan projek penyelidikan dan pembangunan basikal trek dan tidak hairan negara terbabit dianggap gergasi sukan itu.

Sementara itu, Azizulhasni pula menyuarakan keyakinan untuk sekali lagi memecahkan rekod Asia acara pecut termasuk menumbangkan jaguh muda Belanda, Harrie Lavreysen, yang akan turun selaku pilihan utama dalam Tokyo 2020.

"Kalau dilihat prestasi di Berlin baru-baru ini, ada dua pelumba yang mungkin memberikan tentangan terhebat iaitu Lavreysen dan Jeffrey Hoogland kerana mereka meningkat naik sejak tahun lalu," katanya.

"Namun, saya tahu usaha yang akan saya lakukan selain aspek yang diterap kepada basikal. Dalam masa sama, saya tidak begitu risau dengan cabaran mereka ada sekitar lima bulan untuka mempersiapkan diri.

"Saya harap penyokong di sana memberi sokongan penuh kepada kami kerana ia penting untuk kami di landasan terbaik. Nantikan pencapaian kami dalam Tokyo 2020 nanti."