Skuad boling tenpin lelaki negara membabitkan barisan atlet senior dan remaja bakal bersaing sengit bagi perebutan enam tiket ke Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia di Hong Kong, bulan depan.

Berdasarkan polisi skuad boling tenpin yang menitikberatkan prestasi semasa, kedudukan sebagai pemain senior seperti Alex Liew dan Andrian Ang bukan jaminan.

Malah, seorang lagi tonggak skuad kebangsaan, Syafiq Ridhwan, berasakan mereka berdepan cabaran hebat daripada barisan bakat muda negara.

Perebutan ke Hong Kong akan ditentukan roll-off selama 15 hari bermula Isnin depan membabitkan 12 atlet.

"Saingan agak sengit, barisan muda skuad negara turut memberikan persaingan untuk meraih slot ke Hong Kong," kata Syafiq.

Antara pemain muda yang ada dalam senarai perhatian seperti disebut Syafiq adalah Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

Bagaimanapun, dia enggan terlalu mendabik dada dengan kemampuan mengejutkan senior, sebaliknya merendah diri dalam memastikan persiapan rapi sebelum bermulanya roll-off.

"Buat masa ini, kami masih lagi menjalani latihan kerana baru sahaja pulang daripada kejohanan di Thailand dan terdapat beberapa perkara yang mahu diperbaiki lagi," Tun Hakim.