Ronnie Baker mencatatkan masa terpantas tahun ini ketika mengecewakan Christian Coleman dalam acara 100 meter Liga Berlian di Rome, hari ini.

Dalam saingan sengit itu, Baker ditinggalkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Coleman, pada 60m pertama tetapi dia semakin pantas untuk mencatat masa 9.93 saat, sementara pesaingnya itu menamatkan perlumbaan di tangga keempat.

Jimmy Vicaut menduduki tempat kedua sementara Filippo Tortu menggembirakan penonton tuan rumah dengan menduduki tempat ketiga.

Pemenang emas dua kali Olimpik, Sandra Perkovic, memperbaharui rekod kejohanan dengan mencatat 68.93 meter dalam lempar cakera wanita untuk memenangi kejuaraan Liga Berlian yang ke-40.

"Saya mengalami masalah kecederaan tahun ini. Jadi penting bagi saya untuk menang dan berasa seperti di halaman sendiri di Rome -- Itali dan Croatia berkongsi sempadan dan saya menyukai makanan di sini," kata Perkovic.

Abderrahaman Samba mencatat rekod Liga Berlian untuk memenangi acara lari berpagar 400m lelaki, dan Hyvin Kiyeng mencatat rekod dunia dan mengatasi peserta Kenya, Celliphine Chespol, untuk meraikan kejayaan dalam lari berhalangan.

Fred Kerley dari Amerika Syarikat muncul pemenang acara 400m lelaki manakala Luvo Manyonga tipis menewaskan Juan Miguel Echevarria dengan hanya lima sentimeter dalam lompat jauh -- catatan 8.58m yang dilakukannya adalah rekod dunia.