Bajet 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyaksikan keseluruhan industri sukan negara menerima RM244 juta.

Sukan Paralimpik bakal menerima peruntukan RM10j menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk penyediaan program latihan atlet serta pelaksanaan liga sukan para.

E-sukan paling bertuah apabila sebanyak RM20j diperuntukkan untuk tujuan pembangunan selain tambahan RM5j untuk pembinaan pusat kecemerlangan sukan dron.

Tidak dilupakan, atlet e-sukan diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan daripada kejohanan tertentu.

Sementara itu, RM159j diperuntukkan untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, termasuk membina sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh, Kelantan.

RM50j pula untuk melaksanakan program yang membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ini satu pengiktirafan kerajaan, khususnya atlet luar biasa, para, dengan menyediakan petugas khas untuk atlet sukan para.

"Ia merangsangkan lagi usaha kami untuk membawa keluar bakat-bakat luar biasa dalam lingkungan keluarga mereka yang belum dapat ditekankan.

"Insya-Allah kami akan merancakkan sirkit para di peringkat bakat dan pelapis.

"Secara amnya, ada beberapa elemen akan dibincangkan dengan terperinci lagi dengan pihak Kementerian Kewangan, tapi kami tetapi bersyukur dengan apa yang telah disediakan oleh pihak kerajaan," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Shapawi Ismail, di Nadi Arena.