WWE melalui sebuah video di Twitter telah mendedahkan bagaimana sangkar Kamar Penyingkiran (Elimination Chamber) dibangunkan.

Seperti yang semua sedia maklum, sangkar yang sangat menguji ketahanan fizikal dan mental para penggusti yang terlibat di dalamnya telah dibina semula dengan struktur yang baharu dan menampilkan beberapa ciri tambahan.

Seperti yang kita saksikan ketika acara WWE Elimination Chamber pada minggu lalu, bentuk sangkar besi ini telah bertukar daripada bentuk melengkung di bahagian atas kepada 4 segi. Beberapa perubahan lain yang menampilkan ciri keselamatan turut ditampilkan. Yang paling ketara adalah di bahagian lantai besi luar gelanggang di mana ia telah ditutup dengan pelapik getah bagi mengurangkan impak sekiranya berlaku sebarang hempasan di bahagian terbabit.

chamber pad

Walaupun terdapat kritikan daripada sebahagian WWE Universe dengan mendakwa sangkar Elimination Chamber ini tidak lagi seganas dulu, namun pihak WWE terpaksa membuat keputusan sukar dengan menambah ciri keselamatan kerana sejarah telah membuktikan bahawa pelbagai kecederaan serius pernah berlaku ketika perlawanan di dalam sangkar yang tidak mengenal belas kasihan ini berlangsung.

Dalam perlawanan sulung Elimination Chamber ini iaitu ketika acara WWE Survivor Series 2002, Triple H telah mengalami bengkak di bahagian tekaknya gara-gara menerima hempasan lompat katak oleh Rob Van Dam dari puncak kamar kurungan. Hunter turut mendakwa yang beliau juga mengalami kepatahan di bahagian pergelangan tangan pasca perlawanan tersebut.



Sheamus juga antara yang pernah mengalami pengalaman tidak enak ketika beraksi dalam perlawanan ini pada tahun 2010. Beliau telah mengalami konkusi atau gegaran otak akibat perlawanan ini dan ia merupakan sesuatu yang amat berbahaya untuk kariernya.

Di samping perubahan demi keselamatan, struktur sangkar ini juga diubah bagi memudahkan ia untuk diangkut, dipasang dan dileraikan. WWE pernah bercadang untuk tidak lagi menggunakan sangkar ini kerana ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibawa ke lokasi dan agak sukar untuk digantung di dalam arena kerana saiznya yang terlalu besar.

old chamber

Menurut sebuah artikel yang diterbitkan dalam WWE Magazine pada 2009, struktur sangkar ini telah mengambil masa selama lapan minggu untuk disiapkan dan menelan kos sebanyak US$250,000. Ia menampilkan 16 bingkai luaran dengan setiap bingkai seberat 140 kilogram. Berketinggian 16 kaki dan berdiameter 36 kaki, berat keseluruhan sangkar ini menghampiri 16 tan dengan rantai besi sepanjang 3.2 kilometer.

Ia memerlukan trak sepanjang 15 meter untuk mengangkutnya ke arena dan memerlukan lebih lapan jam untuk dipasang. Sebanyak lapan jentera bermotor diperlukan untuk menggantung sangkar ini di bahagian atas arena sebelum digunakan.

Untuk rekod, sangkar ini adalah ilham daripada Triple H sendiri manakala ia diperkenalkan oleh Eric Bischoff yang merupakan Pengurus Am Raw pada 2002. Ia merupakan sebuah perlawanan sadis yang unik kerana menggabungkan format perlawanan sangkar besi, Royal Rumble dan Survivor Series sekaligus.



Finn Balor akan kembali

Finn Balor

Bekas Juara NXT dan Universal pertama WWE, Finn Balor dilapor akan kembali beraksi di pentas Raw sedikit masa lagi. Nama bintang kelahiran Ireland ini telah diiklankan untuk acara WWE Live Events di Buffalo, New York pada 10 Mac, di Toronto, Kanada pada 11 Mac dan di White Plains, New York pada 26 Mac depan.

Balor atau nama sebenarnya, Fergal Devitt, 35, terpaksa berehat panjang sejak Ogos tahun lalu kerana mengalami kecederaan bahu yang serius semasa bergusti dengan Seth Rollins bagi perebutan Kejuaraan Universal WWE di acara Summerslam.



Jika benar Balor telah pulih dan mampu beraksi seperti sediakala, tidak mustahil namanya akan dilibatkan dalam acara tahunan terbesar WWE iaitu Wrestlemania pada 4 April ini. Namun sehingga laporan ini ditulis, masih belum nampak lagi siapa bakal menjadi lawan kepada Balor dan ia semestinya bakal menjadi tanda tanya kepada seluruh peminat bintang yang pernah bergelar Prince Devitt ini.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.