Pemain badminton perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, meletakkan sasaran untuk ke final menentang Goh Jin Wei, namun menyedari mereka berdepan tugas sukar dalam separuh akhir.

Aksi Soniia dan Jin Wei membangkitkan senyuman daripada kem negara dan peminat sukan tanah air yang turun ke Arena Axiata.

Kedua-dua pemain ini dipaksa mengerah keringat beraksi dalam pertembungan tiga set untuk melangkah ke separuh akhir.

Menanti Soniia dalam penentuan ke perebutan pingat emas adalah perseorangan Indonesia, Gregoria Mariska, yang mencipta kejutan menyingkirkan pilihan utama temasya, Busanan Ongbamrungphan.

"Saya rasa sesiapa pun lawan, saya perlu memberi saingan yang terbaik. Saya berharap dapat bertemu Jin Wei dalam final. Itu harapan saya," kata Soniia.

Jin Wei pula berdepan tugas sukar menentang perseorangan meningkat naik Thailand, Pornpawee Chocunwong.

Jin Wei mengetahui dia perlu mempamerkan aksi luar biasa untuk memastikan impian Malaysia menyaksikan dua perseorangan wanita dalam final menjadi kenyataan.

"Persediaan yang agak sukar kerana bulan lepas, dia baru memenangi kejohanan di Thailand. Saya perlu turun dengan lebih kuat dan melakukan analisis dengan lebih terperinci," kata Jin Wei.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.