Harapan untuk melihat kilauan emas menerusi badminton berpasukan lelaki tidak kesampaian apabila kecundang kepada Indonesia dalam final di Arena Axiata, hari ini.

Lebih memeritkan, skuad lelaki tewas 3-0 kepada Indonesia.

Skuad lelaki negara yang kali terakhir memenangi acara itu pada 2005, gagal menghalang penguasaan Indonesia yang mengekalkan kejuaraan mereka dalam lima edisi terakhir temasya.

Malaysia, yang mengekalkan rekod bersih dalam laluan ke final selepas mengetepikan cabaran Laos dan Singapura, tidak mempunyai jawapan untuk menyalakan harapan dalam pertembungan akhir.

Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menampilkan permainan hambar berdepan Jonatan Christie lalu tewas dalam aksi straight set 18-21, 17-21.

Skrip sama berulang dalam aksi beregu apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tumpas kepada gandingan Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian 12-21, 21-16, 14-21.

Kem badminton lelaki negara terus dirundung malang apabila perseorangan kedua, Lee Zii Jia, tewas mudah kepada Ihsan Maulana Mustofa 11-21, 11-21, sekaligus meranapkan peluang negara mengutip emas dalam acara berpasukan setelah berpasukan wanita turut mengalami nasib sama, tewas 3-1 kepada Thailand.

Zii Jia mengakui tidak mampu menangani tekanan daripada lawannya itu yang memiliki pengalaman lebih luas.

"Saya terlalu tertekan dan tidak bersedia untuk menghadapi saingan ini. Lawan saya merupakan seorang yang berpengalaman dalam Sukan SEA. Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kegagalan kami," kata Lee Zii Jia.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.