Kestabilan penganjuran Sukan SEA bulan depan terus menjadi tanda tanya berikutan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) meminda tarikh pertandingan membabitkan 10 sukan.

Perkembangan itu disahkan timbalan chef-de-mission (CDM), Nurul Huda Abdullah, ketika melakukan kunjungan ke kem Sukan SEA badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Antara sukan yang terkesan termasuk tinju,lawan pedang, bola sepak lelaki dan wanita.

Sungguhpun jumlah hari pindaan tarikh pertandingan tidak ketara, ada elemen yang perlu ditangani kontinjen negara.

"Atlet tidak begitu terkesan dengan impaknya memandangkan ia membabitkan perbezaan selama 1-2 hari sahaja.

"Tetapi daripada segi pemasaran, ada pihak pentadbiran yang telah menempah tiket (penerbangan).

"Kami akan mengadakan bengkel menetapkan pingat emas bulan depan untuk menetapkan sasaran emas dalam Sukan SEA, sama ada lebih baik atau kekal seperti edisi 2017," kata bekas ratu renang negara itu.

Sementara itu, skuad badminton negara akan tetap memberi tumpuan kepada acara berpasukan dalam usaha merealisasikan sasaran dua pingat emas di Filipina kelak.

"Mungkin barisan pemain perseorangan dan beregu kedua mampu meningkatkan peluang pasukan.

"Saya berharap dapat mencapai perkara yang positif," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Woong Choong Hann.