Skuad badminton wanita negara berpeluang untuk melunaskan dendam di final selepas berjaya mengetepikan cabaran juara 13 kali, Indonesia dalam separuh akhir berpasukan wanita di Arena Axiata, hari ini.

Malaysia melakar kemenangan bersih 3-0 sekaligus bakal membuat perhitungan dengan penyandang juara, Thailand -- yang turut menang 3-0 ke atas Singapura -- dalam final.

Dua tahun lalu di Singapura, Malaysia terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas kepada Thailand.

Sukan SEA Laos 2009 merupakan kali terakhir skuad wanita berjaya meraih emas acara berpasukan.

Dalam aksi pagi tadi, Soniia Cheah melakar mata pertama negara selepas menewaskan Fitriani Fitriani 21-17, 21-17.

Beregu negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak berdepan masalah mengesahkan kemenangan apabila pasangan Ni Ketut Mahadewi/Rosyita Eka Putri menarik diri ekoran kecederaan ketika pasangan negara mendahului set pertama 7-5.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, melengkapkan kemenangan selepas mengatasi Hanna Ramadini dalama aksi ketiga 21-16, 21-13.

Jin Wei meluahkan rasa puas hati dengan kejayaan tersebut apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Menang di laman sendiri sangat menggembirakan saya dan setiap rakan sepasukan saya. Terdapat peningkatan dalam persembahan kami dan saya tidak sabar untuk beraksi di final berdepan Thailand," kata Jin Wei.

Pemenang aksi pertama, Soniia turut gembira dengan persembahannya.

"Saya sangat gembira dengan bangga dengan pencapaian kerana berjaya meraih mata untuk pasukan. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang lain kerana mempamerkan persembahan yang terbaik sekaligus mara ke final," kata Soniia.



Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.