Skuad badminton negara mendatangkan khabar gembira buat Malaysia selepas pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei, mara ke final untuk berdepan sesama sendiri menentukan emas.

Selepas mengalami kekecewaan dalam saingan berpasukan apabila tewas di tangan Thailand, Soniia dan Jin Wei mempamerkan persembahan agresif dalam memburu pingat emas acara individu wanita Sukan SEA 2017.

Soniia menewaskan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tanjung, 21-20, 21-13 manakala Jin Wei terpaksa bekerja keras berdepan pemain pilihan ketiga, Pornpawee Chochuwong (Thailand), sebelum menang 21-9, 10-21, 21-18.

"Hari ini saya tidak menjangkakan kemenangan kerana sebelum ini kami pernah bertemu dan perlawanan itu agak sukar. Dalam set pertama, saya bermain dengan tenang tetapi dalam set kedua saya terlalu memikirkan untuk menamatkan aksi dengan cepat sehingga melakukan banyak kesilapan," kata Jin Wei.

"Saya memperbaiki aksi dalam set ketiga dan mampu menang.

"Saya bakal berdepan rakan senegara, Soniia. Tidak kira siapa yang menang, ia adalah untuk rakyat Malaysia.

"Kami banyak kali berlawan ketika sesi latihan dan dia banyak kali mengatasi saya, jadi bagi saya tiada tekanan dalam perlawanan itu nanti."

Dalam saingan beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai-Jemie mara ke final dalam kemenangan yang penuh dramatik ke atas pasangan Thailand, Bodin Isara-Savitree Amitrapai 18-21, 26-24, 21-18.

"Kami berasa lega kerana berjaya mengatasi segala tekanan dan emosi. Saya tidak pernah mengharapkan apa-apa kecuali melangkah ke final. Saya tidak tahu nak cakap apa kecuali terlalu gembira," kata Shevon.

Malaysia berada di dalam landasan terbaik untuk meraih dua pingat emas jika Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut berjaya mara ke final.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.