Madzlan Saibon membuktikan status sebagai veteran bukan penghalang untuknya merealisasikan impian peribadi dan Malaysia apabila menghadiahkan pingat sulung badminton negara dalam Sukan Para ASEAN Ke-9 di Arena Axiana, Bukit Jalil, hari ini.

Ini bukan kali pertama Madzlan berada di pentas final memandangkan penampilan sulungnya dalam perebutan emas adalah dalam edisi 2003.

Dalam kategori perseorangan lelaki berkerusi roda WH2, Madzlan sekali lagi mencongak perhitungan menentang Truong Ngoc Binh, lawan dari Vietnam yang ditewaskannya di Singapura, dua tahun lalu.

Seperti final 2015, Madzlan tenang mengawal rentak permainan meskipun ditentang hebat oleh Ngoc Binh sepanjang permainan.

Akhirnya kemenangan straight set memihak Madzlan, 41, dengan keputusan 21-10, 21-10.

"Sudah menjadi keistimewaan kerana bermain di laman sendiri. Keluarga saya semua datang ke sini. Saya dapat mengawal perlawanan tadi. Alhamdullillah kerana saya menang," katanya.

Terdahulu, dalam aksi perseorangan lelaki SL3, Muhammad Huzairi Abdul Malek, mencuri tumpuan di Arena Axiata ketika turun menentang Ukun Rukaendi dari Indonesia.

Bagaimanapun, pertarungan yang memakan masa selama sejam 12 minit itu gagal melakar penghujung yang diidamkan Malaysia apabila Huzairi terpaksa akur dengan kekalahan 15-21, 21-7, 11-21.

Dalam perseorangan lelaki WH1, Ikhwan Ramli, meraih perak apabila tunduk kepada wakil Thailand, Jakarin Homhual, 13-21, 21-16, 14-21.