Perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, tidak tergugat dalam perebutan tempat dalam skuad Sukan SEA Filipina biarpun reputasinya sebagai pemain paling senior semakin dicabar oleh muka baru.

Daripada empat pemain perseorangan lelaki yang tersenarai ke Filipina, dia merupakan nama paling senior.

Bagaimanapun, Lee Zii Jia sudah jauh memintasnya untuk bergelar perseorangan nombor satu negara dan kini dia perlu bersaing dengan dua pemain muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King.

Di atas kertas, kedudukan ranking pemain berusia 24 tahun itu lebih baik berbanding dua pemain muda itu dengan berada di ranking ke-61 dunia sementara Aidil (223) dan Chong King (254).

Namun, daripada sudut pencapaian setakat ini, kedua-dua pemain itu semakin rapat mengekori Joo Ven dan mampu untuk merebut slot, apatah lagi untuk acara individu tatkala satu negara hanya diperuntukkan dua wakil sahaja.

"Sudah tentu mereka meningkat dan saya rasa ia satu proses. Saya pernah melaluinya sebelum ini. Saya rasa ini adalah laluan setiap pemain. Keputusan terbaik akan dilakukan jurulatih dan pihak teknikal," katanya.

Ia bakal menjadi penampilan kedua pemain dari Ampang itu di pentas Sukan SEA tetapi percaturan jurulatih ketika itu hanya menurunkannya untuk saingan berpasukan dan Malaysia sekadar berpuas hati meraih pingat perak.

"Berdasarkan ranking dunia, saya lebih tinggi tetapi Zii Jia yang pertama dan saya kedua. Saya tidak tahu apa akan berlaku tetapi saya fikir jurulatih akan lakukan keputusan terbaik."