Pemain badminton negara, Goh Jin Wei, mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk melangkah ke separuh akhir perseorangan wanita apabila menewaskan pilihan kedua dari Indonesia, Fitriani Fitriani, dalam saingan suku akhir di Arena Axiata, sebentar tadi.

Selepas tewas 21-13 dalam set pertama, pemenang pingat perak acara berpasukan wanita itu tampil lebih bertenaga dalam set kedua untuk menang 21-15, sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Terikat 7-7 dalam set ketiga, Jin Wei tidak memberikan sebarang ruang buat Fitriani sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-12.

"Saya cuba bermain dengan bersabar dengan cuba mencari peluang mencuri mata. Beraksi di laman sendiri, saya enggan mengecewakan penyokong yang hadir.

"Kalau saya kalah dalam set pertama, mesti kena marah punya," kata Jin Wei.

Jin Wei bakal bertemu Pornpawee Chochuwong selepas pemain Thailand itu menundukkan Sarah Joy Barredo dari Filipina 21-13, 21-6 dalam aksi terdahulu.

Sementara itu, Chan Peng Soon lega akhirnya melangkah ke separuh akhir selepas berjaya menewaskan wakil dari Singapura, Hee Yong kai/Tan Wei Han untuk memastikan tempat dalam kelompok empat terbaik.

Peng Soon yang bergandingan dengan Cheah Yee See bagi acara beregu campuran tewas 21-16 dalam set pertama sebelum bangkit untuk menang set seterusnya 21-19, 21-16 untuk menempah tiket ke separuh akhir.

"Permulaan perlawanan tidak berapa baik. Kami bermain di bawah tekanan sehingga kalah set pertama.

"Memasuki set kedua dan ketiga, barulah kami dapat mempamerkan permainan sebenar. Kami enggan berfikir banyak selain daripada berikan yang terbaik," ujar Peng Soon.

Gambar kredit: Twitter @myTeamMAS


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.