Bekas pemain negara, Ong Ewe Hock, memberi bayangan bahawa terdapat perpecahan dalam skuad perseorangan lelaki negara yang menjurus kepada keputusan mengejutkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek, tidak akan menyertai rombongan Sukan SEA Filipina, November depan.

Ia keputusan yang menghairankan jika mengambil kira status pengendali berusia 59 tahun itu apabila menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab berkenaan kepada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, serta seorang lagi jurulatih, Hendrawan.

Apatah lagi situasi itu menyaksikan tiga daripada empat pemain perseorangan yang dipilih dalam saingan dwitahunan itu bukan lagi di bawah bimbingan Misbun kecuali Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Dengan itu, Misbun tidak ditugaskan dalam persiapan atlet dalam kempen di Arena Makati Koliseum, Manila itu, sebaliknya tumpuan utamanya adalah pembangunan pemain-pemain muda.

"Langkah itu sudah pun salah.

"Sebagai ketua jurulatih, anda perlu pantau semua pemain dengan menjaga pemain pelapis dan senior.

"Kalau setakat jaga pemain pelapis, jangan beri jawatan ketua jurulatih senior kepadanya, itu tugas ketua jurulatih remaja," kata bekas pemain negara itu.

Biarpun jurulatih yang pernah melahirkan tiga pemain nombor satu dunia itu menafikan terdapat sebarang perselisihan, Ewe Hock dapat berasakan terdapat perpecahan dalam skuad perseorangan lelaki tatkala mereka kini dalam fasa pemulihan sejurus persaraan bekas jaguh utama, Datuk Lee Chong Wei.

Choong Hann dan Hendrawan pula kini berada Incheon untuk bersama skuad kebangsan yang sedang menghadapi Terbuka Korea Selatan minggu ini.

"Ia tidak seharusnya berlaku, ini untuk kepentingan negara dalam kejohanan besar seperti Sukan Olimpik dan Sukan SEA.

"Walaupun taraf Sukan SEA lebih kecil kerana melibatkan beberapa negara sahaja, tetapi kalau anda tidak pergi, buat apa anda jadi ketua jurulatih."

Sementara itu, rata-rata pemain yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini bingung dan tidak mengetahui hasrat Misbun yang enggan menyertai kontinjen.

Tiga lagi pemain perseorangan yang dibariskan untuk menggalas cabaran dalam temasya dwitahunan itu adalah Lee Zii Jia, Soong Joo Ven serta Lim Chong King.

"Saya tidak tahu mengenainya sehinggalah abang (wartawan) maklumkan mengenainya.

"Beliau antara jurulatih terbaik buat kami tetapi kami percaya akan terus berhubungan," kata wakil negara dalam Sukan SEA kelak, Joo Ven.

Aidil turut tidak mengetahui perkembangan terbaru itu dengan berkata: "Saya tidak diberitahu apa-apa, saya cuma turuti sahaja program yang dia berikan.

"Apa yang diajarnya, saya akan buat yang terbaik."