Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, menjadi sandaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan wanita dalam Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Prestasi pemain berusia 19 tahun itu, yang mengalami masalah kesihatan berkaitan perut sejak April lalu, mungkin kembali semula ke tahap asal dalam temasya dwitahunan itu dengan acara badminton dijadual berlangsung di Manila dari 1 hingga 9 Disember depan.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata, penyertaan semula Jin Wei dalam temasya itu masih bergantung kepada kelulusan pemeriksaan kesihatan walaupun nama pemain itu disenaraikan dalam skuad negara.

“Kami akan tahu apabila mendapat lampu hijau terakhir tidak lama lagi tetapi ketika ini belum ada.

"Kami hanya mempersiapkan pemain itu dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah, melawat skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Jin Wei merupakan penyumbang tunggal pingat emas acara badminton dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan skuad negara meraih lima perak dan dua gangsa.

Sementara itu, Choong Hann optimis skuad negara mampu memberi tentangan sengit dalam acara berpasukan walaupun bukan menjadi pasukan pilihan untuk emas berdasarkan ranking.

Dalam acara perseorangan, beliau mengakui pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, akan berdepan dengan tugas getir dengan kehadiran pemain nombor enam dunia, Jonatan Christie, dan pemain nombor lapan dunia, Anthony Sinisuka Ginting, dari Indonesia serta pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen.

“Selain Kantaphon, Jonatan merupakan lawan yang paling kuat, oleh itu ia merupakan cabaran menarik buat Zii Jia, namun ia tidak mustahil,” katanya.

“Sudah pasti ia adalah tugas berat tetapi proses penambahbaikan masih berterusan. Kami harap Zii Jia akan meneruskan rentak baiknya dan melakar beberapa kejutan di sana,” katanya.

Senarai 10 pemain lelaki dan wanita:

Lelaki: Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Soon Huat, Tan Kian Meng, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Lim Chong King.

Wanita: Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Lee Ying Ying, S. Kisona, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Vivian Hoo, Yap Cheng Wen, Shevon Lai, Lai Pei Jing.

-- BERNAMA