Ogos 2017 menjadi detik yang menyedarkan badminton negara bahawa Malaysia tidak lagi boleh bersandarkan kepada reputasi lampau susulan kegagalan dalam Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya menuai dua emas buat kontinjen negara dalam temasya KL2017.

Tetapi, hanya satu berupaya dicapai menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei, manakala dalam dua lagi acara, beregu campuran dan beregu lelaki berakhir dengan kekecewaan di tangan Thailand.

Secara keseluruhan, skuad Negara Gajah Putih itu membuktikan mereka adalah yang terbaik di Asia Tenggara pada waktu ini dengan membawa pulang empat pingat emas.

"Kami terima hakikat bahawa kami tidak mencapai sasaran dua pingat emas.

"Kami harus membuat perancangan semula. Saya harus berjumpa dengan ketua jurulatih, terutama dalam jabatan pemain perseorangan.

"Kami perlu melihat perkara ini bersama Datuk Misbun Sidek dan menilai apa langkah seterusnya," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.