Bintang regu Raw, Dash Wilder dari pasukan The Revival dilapor mengalami kecederaan yang agak serius ketika acara NXT Live Event hujung minggu lalu.

Wilder, 29, diberitakan mengalami kecederaan di bahagian rahang sebelah kanan, menyebabkan beliau terus dikejarkan ke jabatan kecemasan untuk menjalani pemeriksaan imbasan dan rawatan. Dr. Jeff Westerfield yang merupakan pegawai perubatan NXT menyatakan yang keputusan imbasan menunjukkan Wilder mengalami kepatahan rahang dan perlu menjalani rawatan penyambungan semula pada Jumaat depan. Dijangka proses pemulihan ini akan berlangsung selama 8 minggu atau sehingga musim panas pada Ogos depan.

Berikutan keputusan ujian imbasan yang amat pahit untuk ditelan ini, Dash dan pasangan regunya Scott Dawson menyifatkan situasi ini sebagai “jalanan berbonggol kecil” dalam pengembaraan membina legasi pasukan The Revival.



“Mengecewakan? Itu sudah tentu,” ujar Wilder kepada WWE.com.

“Namun ia bukan penghalang buat The Revival. Semua ini hanya perkara kecil. Saya pernah alami yang lebih teruk daripada ini. Saya masih sanggup untuk keluar beraksi dengan rahang yang diikat ini jika mereka benarkan.

Dua minggu terakhir kami di Raw sebelum ini adalah sekadar permulaan. Kami akan kembali untuk menuntut hak kami, tak lain tak bukan Kejuaraan Regu Raw.”

“Kami adalah dua anak muda yang keras kepala, melazimi budaya orang selatan. Jika ikutkan hati kami, kami akan tetap mahu beraksi di siaran Raw hari ini. Kami akan kembali dan menyambung semula apa yang kami lakukan dengan menumbangkan satu persatu pasukan regu di Raw. Tak kira lah sama ada ianya akan menyebabkan rahang, lutut, buku lali mahupun troli ais krim (merujuk kepada New Day), kami akan mendepani semua itu dan memastikan yang kami akan beroleh seberapa banyak laba untuk memenuhi akaun bank kami secepat mungkin,” tambah Scott Dawson dengan semangat yang berapi-api.

Tidak kira apa sekalipun kata-kata mereka untuk menyedapkan hati masing-masing dan para peminat, kecederaan ini pastinya akan membantutkan momentum yang telah dibina The Revival sejak menyertai roster utama WWE pasca Wrestlemania awal bulan ini. Sebagai pasukan regu yang dianggap betul-betul kuat dan legit, kedua anak muda ini dilihat amat berpotensi untuk menggegar divisyen regu di jenama Raw yang kini dihuni oleh pasukan seperti Enzo dan Cass, Cesaro dan Sheamus, Shining Stars dan tidak ketinggalan, pasukan juara iaitu The Hardy Boyz.

Situasi kecederaan yang melanda para bintang NXT yang baru sahaja dinaiktaraf ke roster utama WWE ini ibarat sebuah badi. Tahun lepas, dapat kita saksikan bagaimana Enzo Amore turut mengalami kecederaan dan terpaksa berehat beberapa minggu selepas terlibat dalam perlawanan sulung di acara pay per view.



Begitu juga buat bekas Juara NXT, Finn Balor. Sejak diserapkan ke jenama Raw pada Julai tahun lalu, bintang berdarah Irish ini hanya terlibat dalam 10 perlawanan sahaja dan telah mengalami dua kecederaan. Pertama semasa menentang Seth Rollins di acara Summerslam di mana tulang bahunya terkeluar dan memaksanya berehat sehingga Mac tahun ini.

Dan kecederaan kedua pula berlaku minggu lalu di acara Raw semasa beliau menentang Jinder Mahal. Balor dilaporkan mengalami gegaran otak setelah menerima tumbukan keras daripada Jinder di kepalanya. Akibatnya, nama Balor terpaksa ditarik daripada dua cara live event minggu lalu dan perlu menjalani pemeriksaan impak selanjutnya sebelum benar-benar diberikan keizinan untuk beraksi di Raw hari ini.

Kecederaan silih berganti ini bukan sahaja berbahaya kepada kondisi fizikal Balor. Malah ia boleh menjadi sesuatu yang menjadi faktor penyebab untuknya tidak lagi menerima lonjakan dan disenaraikan sebagai bintang utama. Jika Balor terus cedera sebegini, Vince McMahon akan melihatnya sebagai seorang bintang yang mudah terdedah kepada kecederaan dan tidak mampu menggalas tugas dengan sebaiknya. Ini sudah tentu akan mengecewakan jutaan peminat Balor yang telah mengikutinya sejak dari zaman Prince Devitt di Jepun dulu.

Pola kecederaan yang melanda bekas bintang-bintang NXT ini mungkin berlaku atas beberapa sebab. Antaranya mungkin kerana kejutan budaya di mana mereka agak gugup beraksi di hadapan jumlah audiens yang lebih besar. Atau mungkin corak perlawanan di roster utama berbeza berbanding ketika di NXT, menyebabkan mereka agak kekok dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Jika ingin dilihat kembali rekod senarai penggusti NXT yang diserap masuk ke roster utama, hanya sebahagian kecil sahaja yang dilihat betul-betul berjaya. Antaranya seperti Seth Rollins dan Kevin Owens. Selebihnya, ramai yang dilihat tenggelam dalam lautan liga yang lebih besar di WWE dan tidak mampu untuk mengekalkan rentak kecemerlangan sepertimana di NXT.

Adakah ia juga berpunca daripada Vince McMahon yang mungkin tidak berapa berkenan dengan anak-anak buah menantunya, Triple H? Setelah bintang tersebut betul-betul digilap oleh Hunter di NXT, Vince secara baling batu sembunyi tangan menenggelamkan mereka sebaik sahaja melangkah ke roster utama.

Benar atau tidak dakwaan ini, hanya Vince McMahon yang tahu.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti profesional.