Pelumba muda negara, Azroy Hakeem Anuar, mempamerkan aksi positif apabila mencatat masa kelapan terpantas pada hari pertama Pusingan 2, Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, hari ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mencatatkan masa terbaik 1:58.561s dalam sesi latihan bebas kedua, hanya 1.229s di belakang pelumba terpantas, Yuki Ito (Yamaha Racing Asean) yang melakukan catatan terbaik 1:57.332s.

Malah, catatan Azroy lebih baik berbanding seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, yang melakukan masa terbaik 1:58.641s yang meletakkannya di kedudukan ke-10 terbaik.

“Saya semakin selesa dengan jentera CBR600RR ini. Perasaan saya juga lebih baik berbanding perlumbaan pertama di Thailand, bulan lalu.

"Saya semakin memahami bagaimana untuk mengendalikan jentera ini selain dapat memperbaiki beberapa kelemahan sebelum ini,” jelas pelumba berusia 19 tahun itu.

Tambahnya, “Ketiadaan Zaqhwan juga memberi sedikit tekanan untuk saya memberikan aksi terbaik untuk membantu mengutip mata buat pasukan. Saya mahu menjadikan tekanan tersebut kepada kelebihan untuk merebut petak mula terbaik dalam sesi kelayakan esok,” jelas Azroy.

Decha Kraisart (Yamaha Thailand Racing Team) mencatat masa kedua terpantas, 1:57.552s diikuti rakan sepasukan Ito, Keminth Kubo, ketiga dengan masa 1:57.964s.

Dalam saingan Asia Production 250cc, duo Astra Honda Racing Team, Rheza Danica Ahrens dan Mario Suryo Aji, menguasai sesi latihan bebas hari pertama dengan catatan 2:08.675s dan 2:08.724s, diikuti Muklada Sarapuech (AP Honda Racing Thailand) ketiga, 2:08.846s.

Pelumba wildcard dari Filipina, McKinley Kyle Paz, yang membawa cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor mencipta kejutan apabila muncul pelumba terpantas Underbone 150cc dengan masa 2:18.393s, mengatasi Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) yang mencatat masa terbaik 2:18.737s, diikuti Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) ketiga, 2:18.922s.