Atlet angkat berat, Aznil Bidin, tidak tertekan walaupun disandarkan tanggungjawab sebagai wakil negara dalam sukan itu ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Aznil, yang beraksi dalam kategori 61 kilogram, kini memburu mata kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 dengan harapan meraih pingat pertama buat negara

Walaupun gagal beraksi cemerlang bagi acara clean and jerk dan snatch dalam Kejohanan Angkat Berat Asia di Ningbao, China, April lalu, Aznil percaya program baru yang dirangka jurulatihnya itu mampu menyerlahkan potensi dirinya.

"Buat masa sekarang tiada sebarang tekanan, saya cuma ikut program yang diatur jurulatih, termasuk sebarang cuti," katanya.

Aznil kini fokus untuk meraih pingat dalam Kejohanan Angkat Berat Negara-Negara Komanwel 2019 di Kepulauan Samoa, Julai depan bagi mengumpul sebanyak mungkin mata kelayakan Olimpik.

Terdahulu, dia melakukan kejutan dalam Sukan Komanwel 2018 Gold Coast di Australia apabila meraih emas kedua buat sukan angkat berat walaupun tidak disandarkan harapan menyumbang sebarang pingat.

"Julai nanti, saya akan menghadapi kejohanan di Kepulauan Samoa bagi mengutip mata ke Olimpik, selepas itu ada Kejohanan Dunia, September depan sebelum beraksi dalam Sukan SEA 2019 dua bulan kemudian. Saya akan cuba yang terbaik kerana semua orang mahu layak ke Olimpik."