Pemain pertahanan hoki bawah 16 tahun (B-16) Perak, Azmilmuizzudin Misron, berhasrat meneruskan legasi keluarga Misron dalam arena hoki tanah air.

Baru berusia 15 tahun dan bertubuh kecil, Azmilmuizzudin yang merupakan adik kepada tiga pemain hoki, Azlan, Azli dan Azril, mula mempamerkan langkah untuk mengikut jejak abang-abangnya.

Aksi kemas yang dipamerkannya di bahagian pertahanan berjaya memastikan kubu Perak tidak dibolosi dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki B-16 ketika membenam Terengganu, 1-0.

Jelas Azmilmuizzudin yang kini menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), dia sentiasa berhubung dengan abangnya, terutama Azlan.

Baginya, itu antara tunjuk ajar penting buat dirinya sebagai dorongan untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang dilaluinya.

"Saya nak ikut jejak abang-abang saya untuk bermain bersama pasukan negara.

"Walau macam mana dugaannya, saya perlu terima.

"Dia (Azlan) selalu berpesan supaya saya tidak mudah berputus asa dan kuatkan semangat.

"Dia turut berpesan agar saya sentiasa ingat kawan-kawan dan keluarga," katanya.