Atlet berbasikal trek para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, dan jurumudinya, Nurul Suhada Zainal, merangkul emas kedua dalam Sukan Para Asia Jakarta selepas mengungguli saingan individu kejar-mengejar wanita B, petang tadi.

Azlia dan Suhada turun beraksi dengan keyakinan tinggi selepas memenangi emas dalam acara lebuh raya tandem wanita B di Litar Antarabangsa Sentul, kelmarin.

Bertemu pelumba tuan rumah, Indonesia, dalam aksi final, wakil negara itu mendapat tentangan sengit dalam perlumbaan sejauh 3,000 meter.

Begitupun, mereka mengekalkan kayuhan bertenaga sepanjang perlumbaan untuk muncul juara dengan catatan masa 4 minit 0.688 saat.

"Pada mulanya, saya tidak jangkakan kemenangan ini kerana saingan yang sangat sengit. Indonesia juga mempunyai atlet yang baik tetapi saya ikut apa yang diarahkan jurulatih dan jurumudi saya," kata Nur Azlia.

Satu lagi wakil negara dalam acara berkenaan menyaksikan Nur Syahida Tajudin, dan jurumudinya, Noraidillina Adilla, meraih gangsa selepas mengatasi lawan dari Singapura.

Sementara itu, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara pecut berpasukan lelaki C1-5 dengan pelumba negara yang diketuai Najib Turano serta Yusof Hafizi Shaharudin dan Zuhairi Ahmad Tarmizi gagal menandingi kehebatan pelumba China dengan mencatat masa 51.937s.

"Dalam saringan pertama, kami ketinggalan dua saat, namun dalam perlumbaan final, kami merapatkan jarak kepada satu saat.

"Walaupun hanya meraih pingat perak, kami meraih catatan peribadi terbaik," jelas Najib.