Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Azizulhasni Awang, terlepas peluang untuk mempertahankan gelaran juara dunia dalam acara keirin selepas tersingkir dalam pusingan pertama Kejohanan Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2018 di Apeldoorn, Belanda, semalam.

Pelumba berusia 30 tahun itu terlebih dahulu tewas di tangan Fabian Hernando Puertas Zapata dari Colombia dan pelumba New Zealand, Jordan Castle, selepas mencatatkan masa 10.598 saat dalam saringan keenam pusingan pertama.

Dia kemudian terkandas dalam saingan penyisihan (repechage) selepas berada di belakang pelumba Ukraine, Andrii Vynokurov, dengan catatan masa 10.287 saat dalam aksi yang dijalankan di Velodrom Omnisport itu.

Azizulhasni, yang baru dinobatkan sebagai Alet Terbaik dalam majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2017, malam tadi, mempunyai satu lagi peluang apabila dijadualkan beraksi dalam acara pecut 200 meter hari ini.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Muhammad Sahrom, turut gagal ke pusingan kedua selepas turut tersingkir dalam saingan penyisihan acara keirin.