Pemenang pingat emas acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), Azizulhasni Awang, diberikan ganjaran RM200,000 oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, mengumumkan insentif itu dalam Majlis Sambutan Wira Negara di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Ganjaran itu, katanya, berupa RM100,000 insentif dan RM100,000 lagi sebagai skim latihan kepada The Pocket Rocketman bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Terpulang kepada Azizulhasni bagaimana untuk menggunakan skim latihan itu, sama ada persediaan ke Sukan SEA 2017 ataupun Sukan Olimpilk 2020.

“Kerajaan Negeri akan mengikut pelan latihan yang dirangka Azizulhasni sendiri selain sentiasa bersedia mempertimbangkan keperluan lain untuknya,” kata Ahmad Razif.

Sambil mengakui tidak menyangka akan menerima ganjaran sejumlah itu, Azizulhasni, 29, melahirkan rasa syukur dan terharu selain berharap kejayaannya menjadi ikutan anak-muda di negara ini.

“Sebagai seorang yang sentiasa berdikari sejak awal, saya tidak mengharapkan sebarang ganjaran kerana saya sentiasa mendahulukan nama Malaysia dan Terengganu.

“Saya sangat berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerajaan negeri yang menghargai kejayaan ini,” tambah atlet yang berpangkalan di Australia itu.

Terdahulu, Azizulhasni tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, dengan disambut hampir 2,000 peminat sambil diiringi ibu bapanya sebelum diarak menaiki pacuan empat roda ke Wisma Darul Iman.