Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, bergelut dengan masa untuk pulih daripada kecederaan buku lali menjelang aksi Piala Dunia siri kedua di Manchester, England, bermula hujung minggu ini.

Sebelum ini, Azizulhasni terkandas di peringkat kelayakan ketika menyertai acara keirin dalam Piala Dunia siri pertama di Poland, selepas insiden perlanggaran dengan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe, Sabtu lalu sehingga menyebabkan rentak kayuhannya terjejas dan meraih tangga ke-32 peringkat kelayakan pecut dengan catatan 10.195 saat.

Dia kini hanya mempunyai tempoh empat hari untuk pulih daripada kecederaan buku lali dan walaupun gagal meraih sebarang pingat di Poland, juara keirin dunia ittu bertegas untuk menyertai saingan di Manchester walaupun dalam keadaan cedera.

“Kebiasaannya, kecederaan buku lali akan mengambil masa selama dua atau tiga minggu untuk pulih.

“Bagaimanapun, kami akan cuba melakukan perkara yang terbaik untuk mempercepatkan proses pemulihan kerana kesuntukan masa.

“Saya berharap agar keadaan di Manchester akan lebih baik untuk mendapatkan mata,” kata Azizulhasni.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, turut terkandas di peringkat kelayakan pecut apabila menduduki tangga ke-34.