Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, mencipta sejarah apabila menduduki ranking nombor satu dunia dalam acara pecut buat kali pertama dalam kariernya.

Kejayaan itu turut meletakkan The Pocket Rocketman sebagai satu-satunya pelumba negara yang pernah berada di ranking pertama dunia bagi dua acara Sukan Olimpik, termasuk keirin, sekali gus memberikan gambaran bahawa atlet kelahiran Dungun itu mampu mencabar dalam temasya di Tokyo itu Julai depan.

Berdasarkan kedudukan semasa Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), Azizulhasni mengumpulkan 1,600 mata untuk menduduki tangga teratas dan mengatasi Tomohiro Fukaya (Jepun) di kedudukan kedua dengan 1,442.5 mata.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Sam Webster, dari New Zealand berada di kedudukan ketiga dengan 1,390 mata manakala seorang lagi pelumba negara, Muhamad Shah Firdaus Sahrom, berada di ranking ke-18 dengan 922.5 mata.

Lebih menarik, Azizulhasni turut mendaki ke ranking kedua acara Keirin dengan 1,740 mata dan hanya kekurangan 50 mata berbanding jaguh Colombia, Kevin Chavarro (1,790) dan juara Asia, Yuta Wakimoyo, berada di kedudukan ketiga dengan 1,715 mata.

"Perlu difahami bahawa untuk memenangi atau cemerlang dalam acara pecut ini memerlukan banyak kriteria penting yang saya tidak ada berbanding pelumba Eropah, yang memiliki saiz besar dan komposisi otot yang padu," katanya kepada Nadi Arena.

"Jadi, hasil kerja keras sejak 2018, kami memang sudah merancang untuk bukan sahaja fokus kepada acara keirin, malah pecut juga kerana kedua-dua acara itu memerlukan banyak masa untuk membina komposisi otot dan seterusnya mencipta keputusan di atas kertas.

"Acara pecut bukan sesuatu yang mudah. Tidak ramai atlet mampu beraksi baik dalam acara ini.

"Kalau kita lihat pelumba Eropah yang pernah berada di ranking tertinggi, kesemuanya mempunyai saiz yang jauh lebih tinggi dan besar daripada saya.

"Tetapi saya telah membuktikan dengan saiz fizikal yang kecil ini, saya masih dapat menakluk dunia, jadi tidak mustahil untuk rakyat Malaysia dalam acara lain juga, walaupun kita mempunyai fizikal yang kecil, kita masih mampu menakluk dunia.

"Saya akan beraksi untuk Sukan Olimpik dalam kedua-dua acara, pecut dan keirin," katanya.